Bersyukur kita ke hadrat Ilahi yang mempertemukan kita
dengan bulan Ramadhan yang mulia. Tetamu Allah yang cuma
datang setahun sekali. Ramadhan kali ini sebenarnya berbeza
dengan Ramadhan yang lalu kerana usia kita semakin bertambah.
Sebab itulah kita sepatutnya lebih merasai kehangatan Ramadhan
kali ini dengan menambahkan amalan dan kebaikan berbanding
daripada Ramadhan sebelumnya. Ambillah peluang Ramadhan
yang tiba pada tahun ini, kerana besar kemungkinan kita tidak
akan menemuinya di tahun hadapan.
Pengertian:
Puasa dalam bahasa Arab bermaksud
meninggalkan. Manakala maksud di sisi ahli Feqah ialah
meninggalkan diri melakukan perkara-perkara yang
boleh membatalkan puasa iaitu bemula daripada terbit fajar
hingga terbenamnya matahari dan disertai dengan niat.
Rukun Puasa
Rukun puasa ada tiga iaitu:
1. Orang yang berpuasa
• Seseorang yang berpuasa itu hendaklah seorang
muslim, baligh, berakal, berkeupayaan dan bersih
daripada haid dan nifas.
• Tidak sah puasa orang yang kafir kerana puasa adalah
ibadah dan orang kafir bukan ahli ibadah.
• Puasa tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum
baligh tetapi hendaklah dididik dan dibiasakan
semenjak kecil.
• Orang yang tidak mampu untuk berpuasa di mana jika
dia berpuasa boleh mengakibatkan mudharat seperti
orang yang terlalu tua atau sakit yang tiada harapan
untuk sembuh, maka tidak wajib berpuasa. Akan
tetapi wajib diganti dengan secupak makanan bagi
setiap sehari puasa yang ditinggalkan.
• Bagi perempuan yang datang haid atau nifas maka
tidak sah puasa mereka pada hari datangnya haid dan
nifas. Sekiranya haid dan nifas datang pada siang hari,
maka batallah puasanya pada hari itu. Sekiranya dia
bersih daripada haid pada malam hari, wajib ke atasnya puasa keesokan harinya sekalipun belum sempat
mandi wajib. Mereka hendaklah mengganti puasa
tersebut mengikut bilangan hari-hari yang mereka
tinggalkan selepas bulan Ramadhan.
• Harus berbuka bagi orang yang bermusafir jauh sekiranya dia takut ditimpa mudarat. Sekiranya
musafirnya tidak mendatangkan mudarat maka lebih
afdhal dia berpuasa. Dia wajib menggantikan puasa
yang ditinggalkan selepas bulan Ramadhan.
• Harus berbuka bagi orang yang sakit, mengandung
dan menyusukan anak sekiranya dia bimbang puasa
boleh mendatangkan mudarat ke atas dirinya atau
anaknya, dan dia wajib menggantikannya semula
selepas bulan Ramadhan. Bagi sakit yang biasa maka
tidak boleh meninggalkan puasa.
2. Niat
• Puasa Ramadhan tidak sah tanpa niat.
• Niat itu di dalam hati dan bukan dengan lisan di mana
tidak disyaratkan ‘Talaffuz’ (menyebut niat dengan
lisan).
• Ketika berniat, wajib menentukan jenis puasa seperti
Ramadhan bagi puasa bulan Ramadhan.
• Bagi puasa-puasa yang wajib, niat disyaratkan
hendaklah dibuat pada malam hari, iaitu selepas terbenam matahari hingga sebelum subuh. Pendapat
yang sahih dalam mazhab Syafie ialah tidak sah niat
yang serentak dengan ketibaan waktu fajar. Bagi
puasa sunat pula, dibolehkan berniat pada siang
hari selagi belum tergelincir matahari (masuk waktu
Zuhur).
• Niat hendaklah dilakukan pada setiap malam untuk
setiap hari puasa yang dilakukan. Ini berdasarkan
pendapat Imam Syafie, Abu Hanifah dan riwayat
paling sahih dari Imam Ahmad. Mengikut pendapat
Imam Malik dan riwayat dari Imam Ahmad pula,
cukup sekali niat sahaja untuk satu bulan Ramadhan
dan hendaklah niat itu dilakukan pada malam pertama
Ramadhan.
3. Meninggalkan dari melakukan perkara-perkara
yang boleh membatalkan puasa iaitu:
(i) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan
sengaja dan tidak ada beza sama ada yang boleh
dimakan atau tidak, termasuk merokok.
• ljmak ulama mengatakan terbatal puasa dengan
makan dan minum.
• Suntikan melalui kemaluan atau dubur adalah
membatalkan puasa. Manakala suntikan melalui
kulit pula ulama dalam Mazhab Syafie berselisih
pendapat. Menurut pendapat Dr. Yusuf alQaradhawi, dia tidak membatalkan puasa.
• Perkara-perkara yang tidak dapat dihindarkan
seperti habuk jalan dan air liur adalah tidak membatalkan puasa. Puasa terbatal dengan menelan
kahak yang keluar dari kepala atau dada dengan
sengaja.
• Batal puasa dengan memasukkan jari atau
sebagainya ke dalam dubur atau faraj.
• Puasa adalah terbatat dengan memasukkan sesuatu
ke dalam telinga dengan sengaja.
• Kesemua perkara tadi jika dilakukan dengan tidak
sengaja, tersilap atau terlupa maka dia tidak membatalkan puasa.
(ii) Muntah dengan sengaja (seperti kerana memasukkan jari ke dalam mulut) adalah membatalkan puasa
dan wajib diganti. Bagi muntah yang tidak sengaja
atau menjadi kebiasaannya muntah maka itu tidak
membatalkan puasa. Rasulullah Shallallahu Alaihi
Wasallam bersabda:
Ertinya: “Sesiapa yang biasa muntah dan dia berpuasa
maka tidak wajib ke atasnya qadha’ puasa, dan sesiapa
yang sengaja muntah, maka hendaklah mengqadhakannya”.
(iii) Keluar darah haid dan Nifas walaupun di penghujung waktu puasa adalah dikira membatalkan
puasa dan wajib diganti.
(iv) Keluar air mani dengan sengaja sama ada kerana
bercumbuan atau memeluk isteri, atau dengan tangan
maka ianya membatalkan puasa dan wajib diganti.
• Sekiranya air mani itu keluar kerana mimpi atau
berangan-angan maka tidaklah membatalkan
puasa.
• Keluar air Mazi tidak membatalkan puasa.
(v) Jimak (bersetubuh):
• Haram berjimak bagi orang yang berpuasa pada
siang harinya dan ia membatalkan puasa tidak kira
sama ada ia dilakukan di faraj atau dubur, keluar
air mani ataupun tidak. Liwat yang dilakukan pada
lelaki, kanak-kanak atau binatang juga adalah
membatalkan puasa.
• Suami dan isteri yang melakukan jimak maka
wajib ke atas kedua-duanya mengqadha’kan
semula puasa mereka yang terbatal.
• Kaffarah (denda) hanya wajib ke atas lelaki
(suami) dan tidak wajib ke atas perempuan.
• Kadar Kaffarah ialah membebaskan seseorang
hamba. Bagi yang tidak ada hamba maka hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut.
Sekiranya tidak mampu, dikehendaki memberi
makan enam puluh orang fakir miskin.
• Sesiapa yang menjimak isteri sebanyak dua hari
berpuasa atau lebih, maka kaffarahnya juga ialah
dua kali kaffarah atau lebih.
(vi) Murtad:
Ulama bersepakat bahawa sesiapa yang murtad
maka batallah puasanya dan wajib qadha hari yang
dia murtad, sekiranya dia kembali memeluk Islam.
(vii) Gila atau pengsan, sekiranya berlaku sepanjang hari
dan dia tidak sedar walaupun satu saat maka batal
puasanya.
(viii) Menukar niat:
Sesiapa yang berniat buruk untuk berbuka puasa
maka batal puasanya. Pendapat ini dipegang oleh
Imam Syafie, Abu Thaur, Abu Hanifah dan pendapat
yang paling jelas dalam Mazhab Hanbali
rajinnyer.. tulis sendiri ke semua?
ReplyDelete