Friday 20 July 2012

PUASA


Bersyukur kita ke hadrat Ilahi yang mempertemukan kita
dengan bulan Ramadhan yang mulia. Tetamu Allah yang cuma 
datang setahun sekali. Ramadhan kali ini sebenarnya berbeza 
dengan Ramadhan yang lalu kerana usia kita semakin bertambah. 
Sebab itulah kita sepatutnya lebih merasai kehangatan Ramadhan
kali ini dengan  menambahkan amalan dan kebaikan berbanding 
daripada Ramadhan sebelumnya. Ambillah peluang Ramadhan 
yang tiba pada tahun ini, kerana besar kemungkinan kita tidak 
akan menemuinya di tahun hadapan.

Pengertian:
Puasa dalam bahasa Arab bermaksud 
meninggalkan. Manakala maksud di sisi ahli Feqah ialah 
meninggalkan diri melakukan perkara-perkara yang 
boleh membatalkan puasa iaitu bemula daripada terbit fajar 
hingga terbenamnya matahari dan disertai dengan niat.


Rukun Puasa
Rukun puasa ada tiga iaitu:

1. Orang yang berpuasa
•  Seseorang yang berpuasa itu hendaklah seorang 
muslim, baligh, berakal, berkeupayaan dan bersih 
daripada haid dan nifas.
• Tidak sah puasa orang yang kafir kerana puasa adalah 
ibadah dan orang kafir bukan ahli ibadah.
• Puasa tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum
baligh tetapi hendaklah dididik dan dibiasakan 
semenjak kecil.
•  Orang yang tidak mampu untuk berpuasa di mana jika 
dia berpuasa boleh mengakibatkan mudharat seperti
orang yang terlalu tua atau sakit yang tiada harapan 
untuk sembuh, maka tidak wajib berpuasa. Akan 
tetapi wajib diganti dengan secupak makanan bagi 
setiap sehari puasa yang ditinggalkan.
•  Bagi perempuan yang datang haid atau nifas maka 
tidak sah puasa mereka pada hari datangnya haid dan 
nifas. Sekiranya haid dan nifas datang pada siang hari, 
maka batallah puasanya pada hari itu. Sekiranya dia 
bersih daripada haid pada malam hari, wajib ke atasnya puasa keesokan harinya sekalipun belum sempat 
mandi wajib. Mereka  hendaklah mengganti puasa 
tersebut mengikut bilangan hari-hari yang mereka 
tinggalkan selepas bulan Ramadhan.
• Harus berbuka bagi orang yang bermusafir jauh sekiranya dia takut ditimpa mudarat. Sekiranya 
musafirnya tidak mendatangkan mudarat maka lebih 
afdhal dia berpuasa. Dia wajib menggantikan puasa 
yang ditinggalkan selepas bulan Ramadhan.
• Harus berbuka bagi orang yang sakit, mengandung 
dan menyusukan anak sekiranya dia bimbang puasa 
boleh mendatangkan mudarat ke atas dirinya atau 
anaknya, dan dia wajib menggantikannya semula 
selepas bulan Ramadhan. Bagi sakit yang biasa maka 
tidak boleh meninggalkan puasa.

2. Niat
• Puasa Ramadhan tidak sah tanpa niat.
• Niat itu di dalam hati dan bukan dengan lisan di mana 
tidak disyaratkan ‘Talaffuz’ (menyebut niat dengan 
lisan).
• Ketika berniat, wajib menentukan jenis puasa seperti 
Ramadhan bagi puasa bulan Ramadhan.
•  Bagi puasa-puasa yang wajib, niat disyaratkan
hendaklah dibuat pada malam hari, iaitu selepas terbenam matahari hingga sebelum subuh. Pendapat 
yang sahih dalam mazhab Syafie ialah tidak sah niat 
yang serentak dengan ketibaan waktu fajar. Bagi 
puasa sunat pula, dibolehkan berniat pada siang 
hari selagi belum tergelincir matahari (masuk waktu 
Zuhur).
•  Niat hendaklah dilakukan pada setiap malam untuk 
setiap hari puasa yang dilakukan. Ini berdasarkan 
pendapat Imam Syafie, Abu Hanifah dan riwayat 
paling sahih dari Imam Ahmad. Mengikut pendapat 
Imam Malik dan riwayat dari Imam Ahmad pula, 
cukup sekali niat sahaja untuk satu bulan Ramadhan 
dan hendaklah niat itu dilakukan pada malam pertama 
Ramadhan.

3.  Meninggalkan dari melakukan perkara-perkara 
yang boleh membatalkan puasa iaitu:
(i)  Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan 
sengaja dan tidak ada beza sama ada yang boleh 
dimakan atau tidak, termasuk merokok.
• ljmak ulama mengatakan terbatal puasa dengan 
makan dan minum.
•  Suntikan melalui kemaluan atau dubur adalah 
membatalkan puasa. Manakala suntikan melalui 
kulit pula ulama dalam Mazhab Syafie berselisih 
pendapat. Menurut pendapat Dr. Yusuf alQaradhawi, dia tidak membatalkan puasa.
•  Perkara-perkara yang tidak dapat dihindarkan 
seperti  habuk jalan dan air liur adalah tidak membatalkan puasa. Puasa terbatal dengan menelan  
kahak yang keluar dari kepala atau dada dengan 
sengaja.
• Batal puasa dengan memasukkan jari atau 
sebagainya ke dalam dubur atau faraj.
• Puasa adalah terbatat dengan memasukkan sesuatu 
ke dalam telinga dengan sengaja.
• Kesemua perkara tadi jika dilakukan dengan tidak 
sengaja, tersilap atau terlupa maka dia tidak membatalkan puasa.
(ii)  Muntah dengan sengaja (seperti kerana memasukkan jari ke dalam mulut) adalah membatalkan puasa 
dan wajib diganti. Bagi muntah yang tidak sengaja 
atau menjadi kebiasaannya muntah maka itu tidak 
membatalkan puasa. Rasulullah Shallallahu Alaihi 

Wasallam bersabda:
Ertinya: “Sesiapa yang biasa muntah dan dia berpuasa 
maka tidak wajib ke atasnya qadha’ puasa, dan sesiapa 
yang sengaja muntah, maka hendaklah mengqadhakannya”.

(iii) Keluar darah haid dan Nifas walaupun di penghujung waktu puasa adalah dikira membatalkan 
puasa dan wajib diganti.
(iv) Keluar air mani dengan sengaja sama ada kerana
 bercumbuan atau memeluk isteri, atau dengan tangan 
maka ianya membatalkan puasa dan wajib diganti.
•  Sekiranya air mani itu keluar kerana mimpi atau 
berangan-angan maka tidaklah membatalkan 
puasa. 
• Keluar air Mazi tidak membatalkan puasa.
(v) Jimak (bersetubuh):
•   Haram berjimak bagi orang yang berpuasa pada 
siang harinya dan ia membatalkan puasa tidak kira 
sama ada ia dilakukan di faraj atau dubur, keluar 
air mani ataupun tidak. Liwat yang dilakukan pada 
lelaki, kanak-kanak atau binatang juga adalah 
membatalkan puasa.
•  Suami dan isteri yang melakukan jimak maka 
wajib ke atas kedua-duanya mengqadha’kan 
semula puasa mereka yang terbatal.
• Kaffarah (denda) hanya wajib ke atas lelaki 
(suami) dan tidak wajib ke atas perempuan.
• Kadar Kaffarah ialah membebaskan seseorang 
hamba. Bagi yang tidak ada hamba maka hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. 
Sekiranya tidak mampu, dikehendaki memberi 
makan enam puluh orang fakir miskin.
• Sesiapa yang menjimak isteri sebanyak dua hari 
berpuasa atau lebih, maka kaffarahnya juga ialah 
dua kali kaffarah atau lebih.
(vi) Murtad:
Ulama bersepakat bahawa sesiapa yang murtad 
maka batallah puasanya dan wajib qadha hari yang 
dia murtad, sekiranya dia kembali memeluk Islam.
(vii) Gila atau pengsan, sekiranya berlaku sepanjang hari 
dan dia tidak sedar walaupun satu saat maka batal
puasanya. 
(viii) Menukar niat:
Sesiapa yang berniat buruk untuk berbuka puasa 
maka batal puasanya. Pendapat ini dipegang oleh 
Imam Syafie, Abu Thaur, Abu Hanifah dan pendapat 
yang paling jelas dalam Mazhab Hanbali

1 comment:

Dah tEngOk tu RajiN2 laA cOmmEnt ek...TQ